Sunday 5 August 2012

Menghargai Segala Nikmat Allah


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah."

                                                                                                                                        (Riwayat Muslim)

Martabat hadith: Sahih

Kesimpulannya:

   Dalam hadith ini, Nabi s.a.w. menganjurkan kepada kita supaya mensyukuri di atas nikmat Allah s.w.t. yang mana kita telah nikmati semenjak dalam rahim ibu kita lagi. Bila kita bandingkan diri kita dengan mereka yang kurang bernasib baik maka akan timbul insaf dalam diri kita.

   Allah s.w.t. itu Maha Kaya dalam setiap pemberianNya kepada hamba-hambaNya. Pertama sekali nikmat yang dipinjamkan ialah nyawa kita. Kalau hendak di sebut satu-persatu nikmat yang Allah s.w.t. pinjamkan pada kita memang tidak terhitung kerana terlalu banyak, dan sebahagian nikmat itu adalah tersembunyi iaitu tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Itulah antara tanda kebesaran Allah s.w.t., dan kita manusia tidak perasan dan sering lupa. Contohnya, nikmat kelapangan masa, nikmat kesihatan tubuh badan, nikmat berfikir, nikmat menghafal (ingatan dan kepandaian), nikmat ketenangan jiwa dan minda dsbg.

   Segala nikmat yang kita nikmati ini bukanlah hak kita, tetapi adalah hak mutlak Allah s.w.t.. Bila tiba masa untuk Allah s.w.t mengambil semula nikmat tersebut tiada siapa yang dapat halang atau bantah. Allah s.w.t. berhak memberi nikmatNya kepada siapa yang di kehendaki, dan Dia berhak menarik semula nikmatNya ke atas siapa Dia kehendaki.

   Sebagai hamba Allah yang lemah lagi tidak berdaya ini, kita harus wujudkan rasa syukur dalam hati kita dan tunjukkan rasa syukur kita pada Allah s.w.t., yang menciptakan kita dan yang memberi kelengkapan untuk hidup di muka bumi ini, dengan melaksanakan segala perintahNya.

- Apakah adil sekiranya kita manusia tidak endahkan perintah Allah s.w.t. setelah kita menikmati pemberianNya sepanjang umur kita? ADIL?!!

-Apakah adil sekiranya kita manusia merasa MALAS untuk mengerjakan suruhanNya sedangkan kita hamba yang lemah ini SEMEMANGNYA AMAT perlukan nikmat pemberianNya untuk hidup? ADIL?!!!

-Apakah adil sekiranya kita manusia LUPA & LEKA pada Allah s.w.t. sedangkan Dia terus menerus INGAT untuk MENCURAHKAN nikmat pada kita? ADIL?!!

   "Subhanaka Ya Rabb, inni tubtu ilaika wa inni kuntu minazh-zholimeen.."

   Kita manusia sering lupa untuk mensyukuri di atas nikmat-nikmat Allah s.w.t. kerana terpedaya dengan kemudahan dan kemewahan dunia. Kita menyangka bahawa kesihatan tubuh badan kita adalah kerana ubat-ubatan atau kerana kita sering bersenam semata. Kita menyangka jiwa kita menjadi tenang disebabkan dengan hiburan semata, kita menyangka akal fikiran kita menjadi tenang dan tajam kerana kita banyak membaca bahan yang bermanfaat dan berinteraksi dengan para bijak pandai. Kita jarang sekali terfikir, dari manakah sebenarnya datang nikmat tersebut.

   Dari itu, marilah kita bermuhasabah diri, sama2 kita berusaha menjadi hamba Allah yang hatinya sentiasa hidup dengan mengingati Allah s.w.t.. Janganlah sampai kita tergolong dalam hambaNya yang sering leka dan lalai, wal 'iyadzubillah min dzalik.

"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkanlah hati ini dengan agamaMu dan mengingatiMu. Ya Allah, bantulah diri ini yang lemah supaya selalu mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan memperbaiki amal ibadah kepadaMu..Ameen"

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment