Wednesday 5 September 2012

Rahsia Anak Hebat


Rahsia Anak Hebat

Picture

Oleh:
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad

Selama tujuh belas tahun menjalankan program motivasi bagi para pelajar dan setelah lebih seratus ribu pelajar yang menyertai program-program yang dijalankan maka didapati anak hebat melakukan sesuatu (sama ada mereka sedar atau tidak) yang tidak dilakukan oleh anak-anak biasa.  Apabila kita bertanya kepada anak ini apa rahsia kehebatannya maka dia sendiri sukar menjelaskannya.  Sebab itu bukan bidangnya.  Namun, cara fikir, sikap, tingkah laku, tindakan serta cara mereka memberi reaksi kepada sesuatu perkara amat berbeza berbanding anak-anak yang biasa pencapaiannya.  

Malah anak hebat kelihatan lebih berdisiplin, punya wawasan, ada sasaran, matang berfikir, mudah bergaul, seimbang hidupnya, bagus akhlaknya serta taat agamanya.  Dia bukan sahaja disenangi oleh gurunya tetapi dalam masa yang sama disukai oleh rakan-rakannya.  Anak-anak sebegini cemerlang dalam akademiknya dan ko kurikulum lalu seringkali ditabalkan sebagai tokoh pelajar oleh guru dan pihak sekolah.  Ibu bapa pasti bangga jika anak mereka termasuk dalam kategori ini.

Jadi, apa yang ada pada anak ini dan tiada pada anak-anak yang lain?  Ada ketikanya anak hebat ini datangnya dari keluarga biasa sahaja.  Malah ada diantara mereka anak yatim yang sudah ketiadaan ayah.  Ada juga yang datang dari keluarga mangsa penceraian.  Pendek kata persekitaran, keadaan keluarga, kesusahan dan kemiskinan tidak menjejaskan dirinya untuk lahir sebagai insan hebat. 

Rahsia pertama: Anak hebat punya matlamat yang jelas dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya itu.  Apabila ditanya apa cita-citanya apabila dewasa nanti, anak hebat boleh memberikan jawapan dengan pasti akan cita-citanya itu.  Matlamatnya cukup jelas.  Malah dia tahu kenapa dia mahu mencapai cita-citanya itu dan untuk apa.  Dia cukup yakin bahawa hanya faktor masa sahaja yang menghalangnya mencapai cita-citanya sekarang.  Namun satu hari, ia pasti menjadi kenyataan.

Rahsia kedua: Anak hebat pentingkan pelajarannya.  Dia tahu hanya pelajaran sahaja yang membolehnya mencapai semua cita-citanya.  Sebab itulah anak hebat sentiasa memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan dan mengulangkaji pelajarannya.  Malah anak hebat menyertai program motivasi luar bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajarnya.

Rahsia ketiga:  Anak hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan meminta bantuan bagi mengatasi kekurangannya itu.  Anak hebat sedar bahawa tidak semua orang tahu semua perkara.  Dia juga sedar bahawa setiap orang memiliki kehebatan, bakat serta kebolehan yang berbeza-beza.  Menyedari akan perkara ini maka anak hebat sentiasa mencari bantuan bagi mengatasi setiap kelemahannya itu.  

No comments:

Post a Comment