Sunday 5 August 2012

Doa dan Harapan


Daripada Anas r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah telah berfirman: Hai Anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap kepada Ku, Aku ampuni bagi engkau di atas dosa yang ada pada engkau dan Aku tiada peduli (berapa banyak dosa itu). Hai Anak Adam! Kalau telah sampai kesemua dosa engkau ke awan langit kemudian itu engkau memohon keampunan Ku, nescaya Aku ampuni bagi engkau. Hai Anak Adam! Sesungguhnya kalau engkau datang kepada Ku dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi (ini) kemudian engkau menemui Aku pada ketika engkau tiada mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi."

                                 (Riwayat at-Tirmidzi dan berkata ianya hadith hasan lagi sahih)

Martabat hadith: Hadith Qudsi

Keterangan:

   Dalam hadith yang diberitahu Rasulullah s.a.w mengenai firman Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya, ia jelas menerangkan kepada manusia yang telah bersalah dan berdosa yang ingin menghapus kesalahannya; iaitu mereka tetap boleh berdoa dan berharap kepadaNya.

   Hadith ini juga menerangkan betapa besarnya pengampunan Allah s.w.t. dan Dia mampu mengampunkan dosa seorang yang kalau dikumpulkan hingga mencecah awan langit mahupun seluas bumi ini.

   Hadith Qudsi ini menggambarkan salah satu sifat Allah s.w.t. yang Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba-hambaNya yang berdosa, yang benar-benar mengharapkan keampunanNya. Gambaran ini juga jelas membuktikan bahawa orang-orang yang berdosa itu tetaplah hamba-hambaNya, dan keampunanNya tetap akan diberikan kepada mereka.

Kesimpulan:

   Subhanaka ya Rabb! Maha suci engkau ya Allah.. Hadith Qudsi ini membawa berita gembira kepada diri kita yang banyak melakukan dosa dan maksiat, sama ada dalam keadaan kita sedar ataupun tidak.

   Allah s.w.t. memilih untuk menyampaikan berita gembira ini dengan lafaz yang dekat dengan diri kita iaitu "Hai Anak Adam.." menerusi perkhabaran dari nabi s.a.w..Ini menunjukkan betapa Allah s.w.t. ambil berat tentang ummat Nabi Muhammad ini kerana kita merupakan ummat kepada nabi dan rasul kesayangan Allah, dan nabi s.a.w. amat sayang dan mengambil berat tentang kita ummatnya.

   Segala apa yang nabi s.a.w. suka atau benci adalah merupakan juga segala apa yang Allah s.w.t. suka atau benci. Begitu juga, segala apa yang Allah s.w.t suka atau benci merupakan juga segala apa yang nabi s.a.w. suka atau benci.

   Allah s.w.t. masih memberi peluang dan ruang yang tidak terbatas kepada kita yang leka ini untuk kembali dan terus mengharapkan Allah s.w.t. mengampunkan dosa2 yang telah kita lakukan. Jangan pernah sekali kita putus harapan pada Allah s.w.t. kerana itu merupakan satu kerugian yang amat besar pada diri kita.

   Dari itu, mintalah dan berharaplah..dan jangan sekali kita ragu bahawa doa kita diterima Allah s.w.t. kerana tidak ada yang mustahil untuk Allah s.w.t. lakukan. Jaga tata-tertib adab ketika berdoa dan syarat2nya, insya Allah akan diperkenankan permintaan kita itu.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment