Sunday 5 August 2012

Orang yang Dikasihi Allah


Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai 'ahli' dari kalangan manusia." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu?" Lalu baginda bersabda: "Merekalah ahli al-Qur'an iaitu 'ahli' Allah dan golongan pilihan-Nya"

                                                                                            (Riwayat Ibn Majah)

Martabat hadith: Sahih

Keterangan:

   Menurut Syarah Sunan Ibn Majah: Ahli al-Qur'an adalah golongan yang menghafal al-Qur'an, banyak membaca al-Qur'an dan beramal dengannya.

   Manakala Ahli Allah pula adalah para wali Allah dan golongan yang mendapat pilihan yang istimewa daripada Allah.

Kesimpulannya:

   Dalam hadith ini diterangkan pada kita golongan manusia yang paling dikasih Allah s.w.t.. Tujuan nabi s.a.w. memberitahu kita mengenai golongan tersebut adalah supaya menggalakkan kita berusaha untuk menjadi salah satu golongan manusia tersebut. Sememangnya kita digalakkan untuk memperbaiki amalan kita hari demi hari. Bacaan al-Qur'an merupakan satu amalan yang cukup baik.

   Al-Qur'an adalah kalam Allah s.w.t.. Di dalamnya terkandung berbagai-bagai hukum hakam: seperti mu'amalat, munakahat, faraid, jinayat dan lain-lain, kisah2 para nabi dan rasul, kisah teladan umat terdahulu yang kufur, nilai2 murni, janji baik bagi orang mu'min, janji buruk bagi orang kafir, peringatan tentang hari qiamat, ganjaran di Syurga dan balasan di Neraka dan macam2 lagi. Ianya juga mu'jizat nabi Muhammad s.a.w..

   Dalam keterangan diatas, dijelaskan ahli al-Qur'an itu adalah mereka yang menghafalnya. Setidak-tidaknya kita berusaha menghafal juz ke 30 itaitu juz 'Amma. Apabila kita cuba menghafal al-Qur'an maka kita pasti akan banyak membaca ayat2 al-Qur'an agar lebih mantap hafalan kita.

   Ahli al-Qur'an juga dijelaskan sebagai orang yang banyak membaca al-Qur'an. Membaca al-Qur'an merupakan sebaik-baik zikir, dan zikir itu dapat menghidupkan hati manusia yang sering lalai dan lupa. Ia sentiasa merasakan Allah hadir bersamanya kerana hatinya selalu mengingati Allah s.w.t.. Apabila kita dapat merasakan demikian maka pasti kita takut hendak lakukan perkara maksiat.

   Apabila kita takut hendak lakukan maksiat maka pasti kita akan dapat amalkan apa yang terkandung dalam al-Qur'an seperti perintah Allah s.w.t untuk melakukan sesuatu dan larangan Allah s.w.t.

   Dalam hadith ini disebut juga "golongan pilihan-Nya". Allah s.w.t memilih sebahagian dari golongan manusia tersebut seperti para Syahid yang berjuang dijalan Allah, orang yang suka menderma dijalan Allah, Ahli Qur'an dan lain-lain. Dari itu, rebutlah peluang yang ditawarkan Allah dan RasulNya sebelum terlambat, apabila nyawa harus dikembalikan.

Walahu a'lam.

No comments:

Post a Comment